Thursday, April 14, 2011

Siapa yang rugi?

SURAH AL 'ASHR (MASA)

  1. Demi masa.
  2. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian
  3. kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal saleh dan nasehat menasehati supaya mentaati kebenaran dan nasehat menasehati supaya menetapi kesabaran.

Ash-Shafi’I berkata, “sekiranya manusia merenungkan surah ini, ia sudah mencukupi untuk mereka.”(terjemahan bebas dari Abridged Tafsir Ibn Kathir)


Tuan Guru Haji Salleh muhajir makki menerangkan seperti berikut tentang tafsir surah ini,


"Allah sendiri bersumpah dengan 'masa'

bahawa semua manusia sama ada kaya atau miskin, raja atau hamba....

semuanya dalam kerugian. Rugi! Rugi! Rugi!


Kecuali, orang yang ada iman!

Tapi iman sahaja 'tak cukup, kena ada amal soleh.


Ada dua 'tu sahaja 'tak cukup, kena pula tawasau-bil-haq (berpesan-pesan dengan perkara yang haq). Tawasau-bil-haq inilah kerja dakwah.

Ada tiga 'tu juga masih rugi, kena pula tawasau-bis-sabr (berpesan-pesan dengan kesabaran). Sabar ialah kepala iman.

Ada keempat-empat 'ni, barulah tidak rugi!"



Hal ini juga diterangkan oleh Ustaz Lutfi al-banjari dengan perbezaan sedikit.

Friday, April 8, 2011

Kisah Seorang Wanita Mengorbankan Mata Kerana Takut Fitnah

*Kisah ini saya hanya jumpa di laman web http://berita-harian-online.com/nasihat-wanita-cantik-sedarkan-hasan-basri/ , ia cerita yang banyak pengajaran, oleh kerana saya hanya jumpa di internet dan tidak di mana2 buku dan rujukan pun tidak disertai oleh laman web tersebut...maka saya kongsikan untuk ambil iktibar apa yang bermanfaat...sesiapa yang boleh 'confirm'kan cerita ini bleh la beritahu saya...

HASAN BASRI pada zaman mudanya, kelihatan bagus dan tampan, lebih-lebih apabila memakai pakaian mahal. Beliau sering berjalan-jalan sekeliling kampung di kota Basrah kerana sangat senang berdasarkan keindahan dan ramainya penduduk tinggal di kota itu.

Pada suatu hari, ketika Hasan berjalan, secara tiba-tiba beliau melihat seorang wanita cantik.

Melihat wanita cantik itu. Hasan berjalan mengikutinya. Wanita itu menoleh, sambil berkata kepadanya: Apakah engkau tidak malu?

Jawab Hasan: Malu pada siapa? Wanita itu berkata. Malu kepada Zat Yang Maha Mengetahui, mata yang khianat dan apa-apa yang terlintas di dalam hati.

Tertanam rasa cinta di dalam hati Hasan terhadap wanita itu sehingga tidak sabar dan tidak boleh menguasai nafsunya, akhirnya ia terus mengikuti di belakang wanita itu.

Wanita itu berkata lagi kepadanya: Mengapa engkau mengikuti aku? Jawab Hasan: Sungguh, aku terpesona dengan pandangan matamu itu. Wanita itu berkata: Tunggulah di sini, nanti akan aku kirim apa yang engkau kehendaki.

Hasan beranggapan wanita itu menaruh cinta kepadanya, sebagaimana dia jatuh cinta kepada wanita itu. Beliau pun menunggu di tempat itu.

Tidak beberapa lama kemudian, datanglah seorang pelayan wanita cantik itu kepadanya membawa bekas bertutup sehelai sapu tangan.

Ketika Hasan membuka tutup bekas itu, ternyata dua mata wanita itu ada di dalamnya. Melihat hal sedemikian, maka pelayan terbabit berkata. Sungguh tuan puteri berkata: Aku tidak ingin mata yang memuatkan fitnah dan mempesonakan orang.

Sebaik Hasan mendengar kenyataan ucapan daripada pelayan wanita itu, dia gementar dan berdiri bulu romanya, lalu memegang janggutnya dan berkata kepada dirinya: Celaka engkau, sebab sudah berjanggut mengapa tidak malu terhadap wanita cantik itu.

Dia pun menyesal dan bertaubat pada saat itu sebelum pulang ke rumahnya dan menangis semalaman. Keesokan paginya, Hasan ke rumah wanita itu untuk meminta maaf segala kesalahannya.

Sebaik tiba di rumah wanita berkenaan, rumahnya tertutup dan mendengar suara tangisani wanita dari dalam rumah itu. Akhirnya, beliau pun bertanya apa yang berlaku.

Dikatakan bahawa pemilik rumah itu meninggal. Hasan kembali ke rumahnya dan menangis selama tiga hari.

Pada malam ketiga, dia bermimpi melihat wanita cantik itu sedang berada di dalam syurga.

Hasan berkata kepada wanita itu dalam mimpiya. Hai wanita yang cantik, maafkan olehmu semua kesalahanku.

Jawab wanita itu. Sungguh, semua sudah kumaafkan kerana aku memperoleh kebaikan daripada Allah sebab engkau. Hasan berkata, Berikanlah kepadaku akan nasihatmu.

Kalau engkau sendirian, berzikirlah atau ingatlah kepada Allah. Dan pada setiap pagi mahupun petang, beristighfar memohon ampun kepada Allah serta bertaubat kepada-Nya. kata wanita berkenaan.

Mendengar nasihat daripada wanita itu, Hasan menerima dan melaksanakan hingga dia menjadi orang yang masyhur di kalangan masyarakat dengan zuhud dan taatnya kepada Allah.

Akhirnya, dia pun memperoleh darjat tinggi dan mulia serta menjadi seorang wali dan kekasih Allah.

Allah tidak memandang kepada paras rupa, tetapi melihat kepada hati dan amalan
tidak ada beza seseorang di sisi Allah kecuali iman dan taqwa.

Saturday, April 2, 2011

SOLUSI BIL. 14: Terdorong oleh Fadilat, Tidak Ikhlas? oleh Ustaz Gunawan Aziz

Alhamdulillah, segala puji dan puja hanya milik Allah, untuk Allah dan kepada Allah. Semata-mata dengan izin-Nya, artikel saya masih dapat mengisi kolum Fadhail A'maal di dalam majalah SOLUSI. Di sini saya perturunkan artikel asal sebagaimana yang terdapat dalam laptop saya. Semoga ada manfaatnya untuk kita semua:



Allah SWT berfirman, mafhumnya, “Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat dan yang demikian itulah agama yang benar.” (Al-Baiyyinah 98:5)



Daripada Abdullah ibn Amr r.anhuma, dia berkata; telah bersabda Rasulullah s.a.w., “Ada empat puluh perkara (amalan kebaikan), dan amalan yang paling tinggi (darjatnya) antara amalan-amalan itu ialah ‘مَنِيحَةُ العَنْزِ ‘. Tidak ada seorang pun yang melakukan mana-mana amalan (daripada empat puluh) amalan itu, dengan mengharapkan pahalanya dan membenarkan janji-janji (pahala yang dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w), melainkan Allah akan memasukkan orang itu dengannya ke dalam syurga.” (HR Al-Bukhari, Bab Keutamaan Meminjamkan Kambing…)



مَنِيحَةُ العَنْزِ bermaksud, meminjamkan kambing kepada seseorang agar dia mendapat manfaat daripada susu kambing itu, kemudian kambing itu dipulangkan kepada pemiliknya.



Ada dalam kalangan umat ini, yang berpendapat bahawa jika kita beramal kerana terdorong dengan pahala, syurga dan fadhilat; maka itu telah menyalahi hakikat ikhlas yang sejati. Ini adalah suatu yang amat mengelirukan. Bagaimana kita sanggup membuat kesimpulan yang sedemikian, sedangkan Allah dan Rasul-Nya telah berulang-ulang kali menggunakan manhaj Tabsyir dan Inzar serta Fadhail A’maal di dalam Al-Quran dan As-Sunnah?



Malah dalam riwayat di atas, bukan sahaja kita dapat mengambil faham tentang pentingnya ikhlas dalam beramal, tetapi Rasulullah s.a.w. turut menyatakan fadhilat Ikhlas itu sendiri! Dorongan dan gesaan supaya kita beramal dengan ikhlas itu sendiri pun, Rasulullah s.a.w. menggunakan kaedah dan pendekatan Fadhail A’maal dalam menerapkan kepentingannya kepada umat baginda.

Ikhlas adalah rahsia daripada rahsia-rahsia Allah. Ikhlas merupakan benteng dan perisai seseorang hamba Allah dengan musuh-musuh hakikinya, yakni syaitan dan segala konconya. Ikhlas adalah syarat mutlak penerimaan sesuatu amalan. Ikhlas adalah ikatan hati seorang hamba dengan Tuhannya.



Rasulullah s.a.w. bersabda, “Beruntunglah orang yang ikhlas. Mereka adalah pelita-pelita di dalam kegelapan malam, dan segala fitnah dan kezaliman akan hilang daripada mereka.” (HR Al-Baihaqi, sebahagian hadis sebagaimana di dalam kitab Syu’bil-Iman)

Beramal kerana dorongan sesuatu fadhilat yang telah dijanjikan oleh Allah dan Rasul-Nya sudah pasti tidak terkeluar daripada hakikat ikhlas. Malah inilah yang boleh menyelamatkan kita daripada sifat riyak dan syirik. Seseorang yang terdorong beramal dengan fadhilat pada hakikatnya telah terdorong kerana keimanannya dengan janji-janji Allah. Janji-janji yang tersimpul kukuh dengan keimanan kepada Allah, Rasulullah s.a.w., hari Akhirat dan perkara yang ghaib.



Hampir semua orang Islam mengetahui, bahawa bersolat dengan berjemaah itu ganjarannya 27 atau 25 kali ganda berbanding bersolat secara berseorangan. Apabila seseorang itu terdorong dan sanggup tinggalkan keenakan berehat di rumah bersama keluarga yang tercinta kerana janji 27 kali ganda ganjaran ini, bukankah itu semua menggambarkan betapa keyakinannya kepada janji-janji Allah. Walaupun janji Allah itu ghaib sifatnya dan manfaatnya akan terzahir hanya di akhirat. Ditambah pula dengan kefahaman bahawa, apabila Allah menyatakan bahawa sesuatu amalan itu lebih besar pahalanya daripada satu amalan yang lain, maka itu menunjukkan keredhaan Allah juga lebih besar kepada amalan tersebut.