Sebuah Hadis yang direkodkan oleh Muslim, Nabi Muhammad pernah menyampaikan pesanan daripada Allah yang berkata,
“Wahai hamba-hambaKu, kamu semua sebenarnya sesat, kecuali mereka yang Aku berikan panduan. Oleh itu mohonlah panduan daripada-Ku. Aku pasti memberikan panduan kepada kamu.
Wahai hamba-hambaKu, kamu semua sebenarnya kelaparan, kecuali mereka yang Aku berikan makan. Oleh itu minta makanan daripada-Ku. Aku pasti memberikan makanan kepada kamu.
Wahai hamba-hambaKu, kamu semua sebenarnya tidak berpakaian, kecuali mereka yang Aku berikan pakaian. Oleh itu minta pakaian daripada-Ku. Aku pasti memberikan pakaian kepada kamu.
Wahai hamba-hambaKu, kamu semua sering melakukan kesilapan pada waktu siang dan malam. Aku yang memaafkan setiap dosa. Oleh itu minta keampunan daripada-Ku. Aku pasti mengampunkan kamu.
Wahai hamba-hambaKu, sekiranya seluruh keturunan manusia dan jin dari zaman dahulu sehingga kini semuanya bersatu dan patuh kepada perintah-Ku, semuanya itu tidak sedikit pun menambah nilai kepada kekuasaan-Ku.
Wahai hamba-hambaKu, sekiranya seluruh keturunan manusia dan jin daripada zaman dahulu sehingga kini semuanya bersatu dan bersikap derhaka kepada-Ku, semuanya itu tidak langsung menjejaskan kekuasaan-Ku.
Wahai hamba-hambaKu, sekiranya seluruh keturunan manusia dan jin daripada zaman dahulu sehingga kini semuanya berhimpun di atas bukit dan berdoa kepada-Ku, Aku pasti memenuhi setiap doa dan permintaan itu. Dan Aku tidak mengurangkan kekuasaan-Ku seperti mana air laut yang tidak kurang apabila jarum masuk ke dalamnya.
Wahai hamba-hambaKu, semua itu adalah amal perbuatanmu. Aku yang akan menghitung amalan kamu. Kemudian Aku juga yang akan memberikan balasan kepada amalan kamu itu. Justeru itu, sesiapa yang mendapat balasan yang baik daripada-Ku, kamu mesti berterima kasih dan memuji Aku. Sesiapa yang mendapat balasan yang buruk, maka kamu jangan sesekali membenci Aku. Tetapi salahkan diri sendiri.”