Wednesday, October 22, 2008

Menjauhi pertelingkahan,perdebatan dan perpecahan

Dari Anas ra. Menceritakan bahawa pada suatu hari kami duduk dihadapan pintu Rasulullah saw. Kami bermuzakarah diantara satu sama lain sehingga seorang membaca ayat Al-quran dan seorang membaca ayat yang lain untuk menegakkan hujahnya(maka suatu pertengkaran telah berlaku) Tiba-tiba Rasulullah saw. datang dengan wajahnya yang merah(kerana marah) seperti perahan buah delima yang tersimbah di mukanya, lantas beliau berkata : wahai manusia, Apakah kamu dihantar ke dunia untuk bertengkar? Atau kamu diperintahkan untuk berbuat demikian? Janganlah kamu kembali kepada kekufuran kerana selepas peninggalanku akan berlaku pertengkaran sehingga mereka memenggal leher diantara satu sama lain.(ingatlah! Perbuatan ini akan menyampaikan kamu kepada kekufuran)(HR Tabrani Majma uz zawaid)


Dari Abu Hurairah Abdul Rahman bin Sakhar ra. : “Bahawa saya mendengar Rasulullah saw bersabda : ‘ Apa yang aku larang kamu lakukan maka hendaklah kamu tinggalkannya, dan apa yang aku perintahkan kamu lakukan hendaklah kamu lakukan sekadar kemampuan kamu. Sesungguhnya telah binasa umat-umat sebelum kamu disebabkan terlalu banyak bertanya serta pertelingkahan mereka terhadap nabi-nabi mereka.(Hadis 40 Imam Nawawi)


Dari Abi Najih bin Al-Irbadh bin Sariyah, katanya : Rasulullah saw telah memberikan suatu nasihat kepada kami yang menggeletarkan hati dan menitiskan air mata. Maka kami berkata kepadanya:’ wahai Rasulullah, seolah-olah ini suatu nasihat yang terakhir, maka berikanlah kepada kami suatu pesanan. Sabda Rasulullah saw :” saya berpesan kepada kamu supaya sentiasa bertaqwa kepada Allah Azza Wajalla serta mendengar dan taat sekalipun kepada seorang hamba yang memerintah kamu. Sesungguhnya orang-orang yang masih hidup di antara kamu akan menyaksikan perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang kepada sunnahku dan sunnah khalifah ar-rasyidin al-mahdiyyin yang beroleh petunjuk (daripada Allah) dan gigitlah ia dengan gigi geraham kamu ( berpegang teguh dengannya dan jangan dilepaskan sunnah-sunnah itu). Dan jauhilah kamu dari perkara-perkara yang diadakan, kerana sesungguhnya tiap-tiap bida’ah itu menyesatkan.” (Hadis 40 Imam Nawawi)

No comments: