Friday, November 6, 2009

GAMBARAN TENTANG PERANAN WANITA DAN IDEAL KEIBUAN DALAM ISLAM

Syair oleh Allamah Muhammad Iqbal yang di tulis dalam bahasa Farsi dan pengarang al-hijab telah menterjemahkan syair ini dari Bahasa Inggeris. Mungkin bahasanya 'complicated' sikit tapi insyaALLAH dapat kita jadikan iktibar dan renungan bersama. Syairnya seperti di bawah :-

Keibuan adalah rahmat yang berhubung erat dengan Nubuwwah.
Dan sifat ihsannya ialah sifat ihsan Nabi sendiri.

Kerana para ibu membentuk jalan yang bakal dilalui oleh lelaki.
Lebih matanglah, dengan rahmat keibuan, peribadi bangsa-bangsa.
Garis-garis kedut di kening ibu itu menentukan tingkat kita dalam hidup ini.

Dia yang kerananya Allah berfirman:"Jadilah kehidupan,"
Mengisytiharkan: syurga di bawah tapak kaki para ibu.
Di dalam memuliakan rahim jua, kehidupan ummat menjadi sejahtera.
Kalau tidak, kehidupan menjadi mentah dan kebinatangan.

Ambillah umpamanya mana-mana wanita desa, yang jahil,
lontok, gemok, tak jelita, tak halus berbudi-bahasa,
buta huruf, rabun matanya, bersahaja, bisu;
Kesakitan menjadi ibu telah meluluhkan hatinya.
Lipatan-lipatan muram memilukan telah melingkung di bawah kelopak matanya.

Andaikata dari dadanya, Ummat ini menerima si Muslim yang ghairah terhadap agama,
Hamba Allah yang setia,
segala kesakitan yang ditanggungnya telah membentengkan wujud kita, dan fajar kita menyinsing cemerlang dalam kemilau senjakalanya.

Ambillah pula: tubuh yang lampai, berdada pipih, berbaju ketat,
Kerling matanya mempesonakan,
Fikirannya gilang-gemilang dengan cahaya tamaddun Barat;
Zahirnya berupa wanita,
batinnya bukan wanita!
Ia telah memusnahkan tali-tali ikatan yang memelihara
Ummat murni kita menjadi selamat sejahtera;
Kecantikannya yang suci telah terburai semua dan ditumpahkan.
Lancang matanya, kebebasannya membangkit kemarahan,
Ia sama-sekali tak tahu malu.
'Ilmunya tak cukup buat menanggung beban Keibuan
Dan di senjakala dan malam harinya, tak sebiji pun bintang berpendar!
Lebih baiklah andai kuntum mawar ini tidak pernah tumbuh di tamansari kita.
Lebih baiklah perempuan jenisnya disapu bersih dari kalangan Ummat ini.

Belum lahir dari ketiadaan, keajaiban-keajaiban kita ini belum lagi ternampak;
Embun yang belum menitis di atas kembang mawar,
Kuntum yang belum digugurkan hembusan bayu bernafsu,
Bunga-bunga tulip ini berkembang daripada kediaman Keibuan yang subur.
Kekayaan sesuatu kaum, hai saudara yang budiman, tidaklah terletak pada linen halus atau timbunan emas perak dalam khazanah;
Kekayaannya ialah putera-puteranya, yang bersih anggota dan kuat tubuhnya, luas fikiran, berjihad ke arah usaha mulia.

Para ibu memelihara tanda Ukhuwwah,
kekuatan al-kitab dan Ummat.

Wahai dikau yang kelumbungnya menjadi hijab yang memelihara kehormatan kami,
Suatu rahmat bagi kami, kekuatan Agama kami, asas Ummat kami,
Bibir putera-puteri kami mereguk susu di dadamu,
Sejak mulanya belajar menyebut Lailahaillallah!
Cintamulah yang mencorakkan pemikiran kami, kata-kata kami, amalan kami,
Panahan kilat kami beradu dalam awanmu,
Berkemilau di gunung, menyapu tanah pamah.

Wahai pemelihara ni'mat syari'at Allah,
Kau yang dari nafasnya Agama Allah memperoleh api,
Pesolek dan Pintarnya zaman ini,
Kafilahnya perompak perintang jalan lengkap bersenjata untuk merampas dan memusnahkan harta kekayaan Agama......
Butalah hatinya yang tiada langsung mengenal Allah.
Hinalah mereka yang menjadi tawanan rantainya yang membelit;
Lancang matanya lagi nekat, tangkas merenggut kuku pencengkamnya,
Buruannya yang malang mengatakan dirinya merdeka,
mangsanya menyombong bahawa ia hidup!
Peliharalah rapi kesucian ibu negeri Ummat ini!
Usahlah bersungut memperhitungkan laba dan rugi,
Berpadalah dengan melalui Jalan yang telah lama direntas Leluhur kita melaluinya di zaman silam........

Waspadalah terhadap kerosakan-kerosakan Zaman, dan himpunlah anak-anakmu erat ke dadamu nan bidang,
anak-anak burung padang rumput ini yang belum tumbuh bulu untuk terbang,
telah jatuh jauh dari sangkarnya yang hangat nyaman.

Tinggi, tinggi, keinginan yang bergelut dengan dirimu!......
Tuladan sempurna, Fatimah 'afifah itu,
Meskipun sekalian makhluk mentaati suruhannya,
namun ia menenggelamkan iradatnya dalam keridhaan suaminya yang salih.
Terdidik tabah dan rendah hati,
Sedang bibirnya mentilawah Kitab Suci, ia memutar kisaran gandum di rumahnya....
Insaflah sentiasa akan tuladanmu, Fatimah
Agar dahanmu akan membuahkan Husayn yang baru,
Tamansari kita berkembang mekar dengan Zaman Kencana


-(Allamah Muhammad Iqbal, dalam Ramuz-i-Bekhudi dengan rujukan Al-Hijab oleh Wan Muhammad bin Wan Muhammad 'Ali)

Thursday, November 5, 2009

SUATU KETIKA


Ini adalah coretan-coretan saya sewaktu berada di bangku sekolah lagi...
Sekarang pun kat sekolah lagi sebab Universiti saya menggunakan nama sekolah sebagai ganti fakulti...hehe...
saya masukkan kedalam blog supaya ia tidak rosak...insyaALLAH...siapa nak baca, bacalah ya...
ini tulisan masa budak-budak sekolah lagi...hehe....masa form 5 kalau saya tak silap


kerana kurang jelas saya taip balik kat dalam blog ne supaya saya boleh kenang zaman silam...hehehe


Insan

seseorang dilahirkan ke dunia
membawa warna putih ke alam yang penuh dengan ujian
tangis dan tawa, sedih dan gembira, susah dan senang, sempit dan lapang

permainan dunia

warna yang putih dicorak menjadi warna yang penuh cahaya ataupun warna yang

penuh kegelapan
perjalanan yang penuh dengan liku-liku yang mencabar
hanya keimanan yang teguh kepada yang SATU menjadi ukuran
menghiasi jalan ke alam abadi
menunggu kematian datang menyepi

Aku

kepadaNYA ku pasrah
terhadap ketentuanNYA yang begitu mencabar keimananku
ku melalui detik-detik ujian itu dengan sabar
kadang-kadang ujian itu menggugat peganganku terhadapNYA
apabila ujian itu berada pada tahap yang sukar
ku kembali mendekatinya
bukan kerana cintaku kepadanya tetapi kerana cintaNYA kepadaku
jika DIA tidak mencintaiku maka apakah harus ku lakukan?
kerana DIA yang esa ku berserah kepadanya

Cinta

satu cinta yang amat luarbiasa
apabila cinta ini berputik segala halangan menjadi dorongan
kerana cinta ini luarbiasa tidak dapat diperolehi dengan sekejap
cinta ini perlukan pengorbanan, tanpa pengorbanan matilah ia
barangsiapa mendapat cinta ini pasti tidak berasa susah, jiwa tenang

dirahmati ALLAH
cinta ini kepada yang SATU, mengikuti perintah meninggalkan larangan bukti

cinta ini berputik
Menggadai nyawa untukNYA menjadi harapan setiap insan yang mempunyainya