Thursday, October 7, 2010

Hadiah Untuk Muslimah Dalam Membicarakan Seputar Hijab (niqab,purdah n etc.)

*Artikel ini adalah petikan dari kitab Fiqh al-sirah yang dikarang oleh Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadan Al-Buti, sebab saya menyediakannya adalah kerana terdapat sesetengah orang yang menganggap bahawa niqab adalah adat, malah ada yang menganggap bahawa ia adalah wahabisme, jadi saya menolak perkataan mereka dengan menyediakan artikel yang dipetik dari seorang Ulama kontemporari yang ternama seperti tersebut diatas. Saya juga bukan bertujuan untuk menimbulkan masalah khilafiyyah, hanya saja saya ingin menjernihkan pendapat-pendapat yang tersebut diatas.

Mengikut riwayat Ibnu Hisyam dari ‘Abdullah bin Ja’afar bin Al-Muswir bin Mukhrimah dari Abi ‘Awanah menceritakan bahawa seorang wanita ‘Arab telah membawa barang jualan ke pasar Bani Qainuqa’. Wanita itu duduk dekat tukang emas, sekumpulan Yahudi cuba hendak membuka penutup mukanya tetapi telah ditentang oleh wanita itu. Lalu si tukang emas tadi mengangkat hujung bajunya dibelakangnya, dan bila saja wanita itu bangun maka terselak ‘auratnya, lalu ianya memekik. Maka seorang lelaki Islam menyerang tukang emas tadi dan membunuhnya. Lepas itu yahudi-yahudi yang lain pula berkumpul menerkam ke atas lelaki Islam tadi lalu membunuhnya. Kejadian ini menyebabkan orang islam melarang orang-orang islam berhubung baik ke atas orang-orang yahudi. Seluruh orang islam marah. Dari peristiwa ini berlakulah pergaduhan antara orang islam dan bani qainuqa’ dan inilah pergaduhan pertama berlaku setelah dimeterai perjanjian di antara mereka dan Rasulullah sallahu ‘alaihi wasallam.(Sirah Ibnu Hisyam)

*Saya hanya ingin membawa huraian tentang hijab melalui kisah ini.

Ini menunjukkan bahawa hijab yang telah di syara’kan dalam islam ke atas kaum perempuan adalah seluruh tubuh hingga ke mukanya. Kalau tidak maka apa perlunya perempuan ini berjalan dengan muka tertutup, kalau tutup muka ini bukannya satu suruhan agama masakan yahudi bersemangat sebegini rupa hendak membuka tutup muka tadi, kerana mereka berhasrat mengkhianati dan mencabar (provocation) pegangan agama yang dapat diperhatikan begitu jelas sekali.

Boleh jadi ada orang mengatakan bahawa di dalam cerita ini diriwayatkan oleh Ibnu Hisyam sahaja. Terdapat anasir lembut yang tidak kemas untuk membuktikan keputusan ini tapi beberapa cerita-cerita lain yang kemas membuktikan keputusan ini yang tidak dapat disangkal atau diragui.

Sebagai contoh apa yang diriwayatkan oleh imam Al-Bukhari dari ‘Aisyah radiyallahu ‘anha : di dalam bab pakaian yang dipakai oleh seorang yang berihram, kata ‘Aisyah “mana-mana perempuan tidak boleh menutup muka atau memakai purdah dan tidak boleh memakai pakaian yang bercelup merah dan kuning. Demikian juga apa yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam Al-Muwatta’nya dari Nafi’ bahawa ‘Abdullah bin ‘Umar radiyallahu ‘anhuma telah berkata :- “perempuan yang berihram tidak boleh menutup muka dan tidak boleh memakai dua sarung tangan.”(Al-Bukhari, Al Muwatta’) Maka apa ertinya larangan terhadap perempuan dari memakai tutup muka atau purdah semasa ihram, kerana apa larangan ini hanya kepada kaum wanita sahaja dan tidak kepada lelaki? Pengecualian khusus di musim haji membuktikan bahawa sebahagian daripada apa yang biasa dilakukan oleh perempuan Islam ialah menutup muka dan menurunkan purdah ke atas mukanya maka arahan ini dibuat sebagai satu suruhan pengecualian khusus bagi musim haji sahaja.

Dan di antaranya apa yang telah diriwayatkan oleh Imam Muslim dan lain-lain iaitu hadith Fatimah binti Qais yang telah diceritakan oleh suaminya selepas penceraian itu. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah menyuruh Fatimah supaya tinggal di rumah Ummu Syarik, kemudian Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam memberitahu bahawa rumah Ummu Syarik dipenuhi oleh sahabat baginda. Oleh itu cuba engkau tinggal di rumah anak sepupunya iaitu anak Ummu Maktum, kerana beliau ini matanya rosak sekiranya engkau pecat tutup mukamu pun nescaya dia tidak akan melihat kamu.

Dari sudut tersebut peristiwa ini menjelaskan hujah-hujah supaya orang perempuan menutup mukanya dan tubuh badannya yang lain daripada dilihat oleh orang asing.

…muka orang perempuan dianggap ‘aurat kepada lelaki ajnabiy terkecuali kepada beberapa hal yang tertentu seperti keperluan berubat, belajar dan untuk saksian dan sebagainya. Namun begitu masih ada setengah-setengah Imam Mazhab yang mengatakan bahawa muka dan dua tapak tangan perempuan bukan ‘aurat. Maka tidak wajib menutup kedua-duanya dengan didasarkan kepada hadith-hadith tadi sebagai memberi makna (mudah) sunat bukan wajib. Walaupun demikian, seluruh mereka bersepakat bahawa tidak harus seseorang itu melihat bahagian-bahagian tubuh perempuan dengan hawa nafsu. Untuk itu maka wajib ke atas seseorang perempuan menutup mukanya sekiranya kejahatan dan ke’asyikkan berleluasa sehingga seluruh yang melihat itu terdiri dari golongan fasiq, menengoknya dengan intaian yang haram.

Sekiranya saudara amati hal keadaan orang Islam di hari ini dengan segala kefasikan, kejahatan dan kerosakan pendidikan dalam akhlaq, saudara tentu mengetahui bahawa tidak ada tempat untuk disebutkan harus bagi orang perempuan membuka mukanya.

Sebenarnya jurang merbahaya yang dilalui oleh masyarakat Islam di hari ini menuntut (untuk menjamin keselamatan dan penerusannya) lebih banyak lagi sifat berhati-hati dan lebih banyak lagi untuk mengambil sesuatu itu dengan lebih ketat lagi sebagai jalan yang paling baik sementara dapat menyeberangi peringkat(marhalah) yang kritis ini kemudian mampu pula menguasai urusannya dan dapat mengatasi masalah umat Islam dengan tangan kita sendiri.

Atau dengan lain perkataan yang lebih ringkas kita menegaskan bahawa tabi’at mengambil jalan rukhshah (kelonggaran) dan segala cara-cara yang mudah-mudah dalam agama lambat laun akan terikut-ikut hanyut dibawah tapak kaki orang lain. Orang yang semacam ini seterusnya akan menyeret kita kepada tindakan membiasakan diri mengambil rukhshah secara menyeluruh dari semua dasar-dasar kewajipan. Sekiranya tidak wujud satu kesedaran masyarakat Islam yang sihat yang mampu mengawal apa yang dikatakan Rukhshah (kelonggaran) tadi supaya tidak digunakan sewenang-wenangnya berdasarkan kepada manhaj perjalanan Islam umum dan dapat menjaganya dari diselewengkan (atau disalah gunakan) hingga melanggar batas-batas syara’ nescaya kelonggaran ini akan menyebabkan kerosakan.

Di antara perkara-perkara yang menghairankan ialah adanya manusia yang sanggup menggunakan istilah apa yang mereka namakan “bahawa bertukarnya masa maka bertukar pula hukum agama”, dalam rangka meringan, memudah dan menyesuaikan dengan tuntutan melepaskan diri dari ikatan kewajipan sebenarnya. Untuk peringatan kepada mereka perlu ditegaskan bahawa kaedah ini hanya boleh digunakan bila suasana mendesak bukan seperti keadaan biasa atau semua keadaan. Hingga kini saya sendiri belum lagi bertemu dengan satu contoh yang boleh lantaran bertukarnya masa. Sebagaimana yang telah dinyatakan saya berpendapat perlunya orang-orang perempuan di hari ini menutup mukanya memandangkan bahawa betapa banyaknya kegelincungan-kegelincungan yang banyak menuntut kita lebih berhati-hati lagi semasa berjalan dan memerhati terlebih dahulu tempat meletek kaki sebelum melangkah sementara sabar menunggu pertolongan Allah hingga terdirinya masyarakat Islam yang dinanti-nantikan selama ini.



Rujukan : Fiqh Al-Sirah - Syeikh Dr. Muhammad Said Ramadan Al-Buti

3 comments:

ukhti,mardhiah said...

Assalamualaikum....
bagus tuan entrynya...
maaf tidak perasan link y diberikan di blog nusrahmu Ya Allah
jadi,memakai purdah ini satu kewajipan atau bagaimana??
terima kasih atas perhatiannya ats permasalahan kaum wanita ini.
(",)

PIANED said...

waalaikumsalam..

kebanyakan ulama mengatakan tidak wajib...
tapi melalui artikel ini..penekanan terhadap pemakaian itu sebab zaman...

Syeikh Ramadan pula berpendapat wajib...terkecuali hal2 tertentu seperti belajar, saksi dan lain2 yang mengharuskan untuk membukanya

Ibnu Mutalib said...

jazakallahukhair atas perkongsian...